Wacana buku kanak-kanak
Februari 2, 2008 at 1:43 am | In Galaksi penulisan, Kosmos idea, Ulasan buku | 6 Comments* Artikel berikut terbit dalam Jendela Selatan Disember 2007 terbitan DBP Wilayah Selatan. Judul asal ialah ‘Wacana menulis untuk anak-anak’. Judul kini: ‘Wacana buku kanak-kanak: Senarionya di Malaysia’.
RUNGUTAN sebahagian ibu bapa terhadap bacaan anak-anak ada asasnya. Ini sekali gus melibatkan media elektronik khususnya TV. Lambakan media luar terutama dari Jepun dan Amerika Syarikat wajar dinilai secara kritis. Lambakan manga khususnya tanpa segan silu memaparkan watak kartun seksi dan adegan yang tak sepatutnya dilihat oleh kanak-kanak. Itu belum termasuk unsur sihir yang menyalahi akidah dan syariat Islam.
Genre manga dari satu sudut merupakan simbol amalan budaya membaca yang tinggi di Jepun. Shonen Magazine dan Ribbon yang diterbitkan pada tahun 70-an pada asalnya ditujukan kepada sasaran pembaca kanak-kanak, tapi mendapat sambutan di luar jangkaan dalam kalangan remaja termasuk golongan mahasiswa. Manga lalu menjadi semakin ‘liar’ sehinggalah yang dapat disaksikan sebahagiannya pada hari ini.
Selain daripada mengetatkan proses tapisan bahan-bahan bacaan import, negara ini haruslah berusaha membanyakkan bahan-bahan bacaan dalam ‘acuannya sendiri’. Penulis sengaja memulakan rencana ini dengan manga yang boleh dimasukkan dalam kategori komik memandangkan kepada minat kanak-kanak Malaysia yang tinggi terhadap komik.
Berdasarkan Kajian Profil Rakyat Malaysia (1996), jenis bahan bacaan yang disukai oleh kanak-kanak berumur 5-9 tahun adalah komik (41%), buku (26%), suratkhabar (10%) dan majalah (6%). Komik yang bermutu amat wajar dihasilkan sebagaimana karya Nasah atau Sharif Hasan menerusi siri Bujal dan The Kampung Boy oleh Lat atau Mohamed Nor Khalid.
The Kampung Boy ternyata bertaraf dunia dan sudah diterbitkan dalam bahasa Perancis, Jepun dan Portugis. Dalam Reader’s Digest September 2007, salah satu watak utama The Kampung Boy terpampang di kulit muka depan. Ia malah terus diulang cetak biarpun sudah lebih sedekad diterbitkan sekali gus meletakkannya sebagai mahakarya kanak-kanak terunggul Malaysia. Kini Lat muncul pula dengan The Town Boy.
Komik mampu berkongsi pengalaman di kampung dan membina jati diri sebagaimana dalam Bujal dan The Kampung Boy. Komik ‘superhero’ seperti Superman, The Fantastic Four dan The Amazing Spider-Man dari satu sudut dapat memupuk jiwa yang besar dan membina keyakinan diri, namun adalah lebih baik jika penulis dan pelukis Malaysia dapat hasilkan komik-komik seumpamanya.
Kalau Malaysia mampu hasilkan filem animasi Saladin bertaraf dunia, tentunya Malaysia mampu hasilkan komik yang mengemukakan ‘superhero’-nya sendiri sebagai protagonis sama ada daripada peradaban Islam mahupun peradaban Melayu silam. Ini kerana, Saladin dihasilkan oleh penulis dan pelukis animasi tempatan.
Bagaimanapun, adakah kerjaya penulis dan pelukis komik di Malaysia mampu memberikan pendapatan yang selesa? Ini sekali gus mengangkasa persoalan yang hampir serupa nadanya: Sejauh manakah penulis karya kanak-kanak diiktiraf dan diberi penghargaan? Adakah penulis karya kanak-kanak bertaraf kelas ketiga? Wajarkah penulis karya kanak-kanak tempatan dianaktiri di tanahairnya sendiri?
Kawalan terhadap bahan bacaan kanak-kanak selain daripada mengekang kandungan ‘liar’ dari perspektif agama Islam dan budaya Malaysia sebenarnya juga dapat membela kumpulan penulis tempatan. Penulis dan sekalian karyawan tempatan mesti dibela daripada membiarkan limpahan masuk karya luar. Jangan sampai anak kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan!
Penulis karya kanak-kanak juga mesti dibela dari segi hak cipta. Kisah duka yang berjilid-jilid oleh para penulis khususnya penulis kanak-kanak yang dianiaya dan dizalimi oleh pihak penerbit mesti diberi perhatian. Usah beri ulasan ‘pandir’ seperti: Sasterawan Negara pun dianiaya penerbit, inikan pula penulis karya kanak-kanak atau penulis karya budak kecil.
Di samping itu, penerbit yang tidak serik menzalimi penulis wajar dipulaukan. Penerbit berkenaan mesti sedar bahawa mereka takkan wujud tanpa kehadiran penulis. Penerbit tidak harus terus membodohkan golongan penulis bahawa bahan bacaan kanak-kanak sukar laku sedangkan pasaran bahan bacaan kanak-kanak hampir tidak terjejas biarpun sewaktu ekonomi merudum.
Hal ini disokong oleh data kanak-kanak pra-sekolah sekitar lebih 1.5 juta dan pelajar sekolah rendah sekitar lebih 3 juta serta sikap ibu bapa yang rata-rata kurang berkira membelikan bahan bacaan kepada anak-anak seusia kanak-kanak di samping peruntukan pengecualian cukai pendapatan melalui pembelian bahan bacaan sehingga RM 1000 setahun.
Seterusnya, sudah sampai masanya anugerah bertaraf kebangsaan atau perdana diberikan kepada penulis karya kanak-kanak tempatan. Ia antara lain melengkapkan usaha beberapa pihak khususnya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang sering menganjurkan sayembara mengarang seperti Peraduan Mengarang Novel Fiksyen Sains Kanak-kanak dan Pertandingan Menulis Cerpen Kanak-kanak Bertemakan Alam Sekitar (anjuran Jabatan Alam Sekitar dengan kerjasama DBP).
Ia juga melengkapkan Anugerah Buku Kebangsaan Malaysia yang menawarkan hadiah wang tunai RM 3 ribu kepada setiap pemenang bagi kategori Buku Kanak-kanak Bergambar, Buku Kanak-kanak (Fiksyen) dan Buku Kanak-kanak (Bukan Fiksyen). Penganjur anugerah, Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) bagaimanapun hanya mempelawa penerbit bagi menyertainya.
Anugerah yang ingin dicadangkan ini barangkali persis anugerah Sasterawan Negara. Ini memandangkan kepada senario penulis sastera kanak-kanak biar semana hebat sekalipun takkan dapat menghidu anugerah sastera paling berprestij itu. Selain itu, orang ramai terutama kanak-kanak wajar diberi peluang dalam proses pemilihan pemenang di samping penilaian oleh pihak profesional.
Kategori utama anugerah tentulah komik dan buku. Komik pula boleh dipecahkan kepada beberapa jenis; komik pelbagai, manga dan novel komik (juga disebut novel grafik). Namun untuk peringkat awal, wujudkan komik sebagai kategori tunggal. Barangkali nama anugerahnya ialah ‘Anugerah Penulis dan Pelukis Komik Kanak-kanak Perdana’.
Sumbangan komik kepada bangsa dan negara usah dipandang sebelah mata. The 99 terbitan Teshkeel Media Group (TMG), Kuwait sebagai contoh mengemukakan watak superhero Jabbar di samping Dana dan Zoran bagi mengembalikan semangat orang Arab yang trauma dan berjiwa kecil selepas Perang Teluk biarpun ada sedikit ala terbitan Marvel Comics dan DC Comics, Amerika Syarikat.
Kategori buku jauh lebih rencam berbanding komik. Judith Hillman dalam Discovering Children’s Literature misalnya menyenaraikan genre buku kanak-kanak sebagai puisi (termasuk balada dan haiku), sastera tradisional, buku bergambar (termasuk buku abjad dan nombor serta cerita bergambar), fantasi (termasuk fantasi dan fiksyen sains), realisme (termasuk cerita sukan, misteri, sekolah dan keluarga), biografi dan autobiografi, dan juga info.
Untuk peringkat awal, bahagikan sahaja kepada dua sub-kategori iaitu fiksyen dan bukan fiksyen. Pada masa akan datang kategori mungkin boleh dipecahkan lagi mengikut peringkat umur kanak-kanak sebagaimana Nestlé Children’s Book Prize yang membahagikan kategori karya kepada sasaran pembaca 5 tahun ke bawah, 6-8 tahun dan 9-11 tahun.
Karya fiksyen termasuklah fiksyen sejarah, fiksyen sains dan lain-lain. Almarhum Mohd. Ismail Sarbini (1950-2006) adalah antara contoh penulis fiksyen kanak-kanak prolifik dan tersohor di tanahair. Beliau merupakan calon yang layak untuk meraih ‘Anugerah Penulis Karya Fiksyen Kanak-kanak Perdana’ jika ia diwujudkan sewaktu hayatnya.
Majoriti karya Mohd. Ismail Sarbini diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Ada juga yang terhasil daripada sayembara mengarang seperti Pulau Berukera (terbit pada 1982) yang terhasil daripada Peraduan Mengarang Novel Fiksyen Sains Kanak-kanak DBP 1980.
Kalau ada ‘Anugerah Penulis Karya Fiksyen Kanak-kanak Perdana’, ‘Anugerah Penulis Karya Bukan Fiksyen Kanak-kanak Perdana’ pula amat wajar diwujudkan. Berdasarkan pengetahuan penulis sehingga kini, tiada langsung sayembara mengarang buku bukan fiksyen kanak-kanak yang bersifat fakta dan maklumat.
Fakta menunjukkan bahawa dari 2000 hingga 2002, jenis buku kanak-kanak yang tertinggi penggunaannya di Perpustakaan Negara Malaysia adalah fiksyen, lalu diikuti oleh buku-buku bukan fiksyen sains dan teknologi, sains sosial dan bahasa. Tiada siapa yang dapat menafikan akan kepentingan bahan-bahan bacaan bukan fiksyen sedemikian dalam pembinaan ufuk pengetahuan dan pembangunan daya fikir kanak-kanak.
Di Barat, industri karya kanak-kanak jauh lebih rancak dan jauh lebih serius. Karyawan karya kanak-kanak juga jauh lebih dihargai berbanding di sini yang antara lain disokong oleh mekanisme pemberian anugerah khas kepada penulis yang berjaya menghasilkan karya bermutu tinggi. Penerbit universiti juga aktif menerbitkan bahan bacaan kanak-kanak termasuklah penerbit dari universiti ternama dunia seperti Yale University dan University of Chicago.
Di Britain wujud anugerah khas Booktrusted Children’s Laureate yang seolah-olah melantik penulis sebagai ‘duta’ kepada kanak-kanak dengan tanggungjawab membangunkan budaya membaca dalam kalangan kanak-kanak. Anugerah yang diberikan untuk setiap dua tahun ini membabitkan wang tunai GBP 10 ribu diberikan kepada penulis dan juga pelukis (ilustrator) karya kanak-kanak yang cemerlang.
Penulis yakin bahawa segala saranan yang diberikan di sini jika menjadi kenyataan mampu menjadi mangkin kepada lebih ramai rakyat Malaysia mahu menulis untuk kanak-kanak. Pun begitu, bukan mudah mahu menulis untuk kanak-kanak. Kehidupan dan pemikiran mereka mesti difahami ibarat kata Andrew Croft dalam The Freelance Writer’s Handbook, “Penulis buku kanak-kanak mesti mampu berfikir seperti kanak-kanak.”
Akhir kata, saripati wacana menulis untuk kanak-kanak di sini merupakan suatu bentuk kempen menulis untuk kanak-kanak di atas justifikasi masih kurangnya bahan bacaan kanak-kanak tempatan oleh karyawan tempatan. Kempen ini bagaimanapun takkan ke mana selagi golongan penulis kanak-kanak sama ada sepenuh masa atau separuh masa tidak dibela, dihargai dan dimartabatkan.
6 komen »
Suapan RSS untuk komen-komen bagi kiriman ini. URI Trackback
Tinggalkan komen
Blog di WordPress.com. | Theme: Pool by Borja Fernandez.
Entries and comments feeds.







Komen oleh yasmin — Mac 12, 2008 #
Komen oleh zulkhair — Mac 12, 2008 #
boleh anda beri alamat penerbit yang boleh menerbitkan buku cerita kanak-kanak?
Komen oleh sue — Jun 29, 2009 #
Ada banyak penerbit yang berkaitan seperti DBP, PTS, Kumpulan Utusan dll. Untuk lihat alamat, antara lain bolehlah lawat ke senarai sejumlah penerbit utama tanahair di sini (http://mabopa.com.my/index.php/members/). Jika anda mahu terus serius boleh mencari sifu dalam bidang ini dan bolehlah menyertai The Malaysian Board on Books for Young People (MBBY), lihat http://www.mbby.org/index.htm.
Komen oleh zulkhair — Jun 29, 2009 #
salam. saya memerlukan bahan berkaiatan dengan penghasilan novel kanak-kanak. mna sya boleh dapat semunya dengan lebih terperinci.
Komen oleh nur hidayah — September 3, 2009 #
Setahu saya tiada suatu buku yang khusus tentang penulisan novel kanak-kanak melainkan melambak2 dalam BI. Namun, satu cara yang boleh kata lakukan adalah menjalankan kajian sendiri terhadap tulisan sedia ada. Selain Ismail Sarbini, ada banyak lagi yang boleh dicontohi seperti Pak Matlob di samping karya2 yang pernah menang dalam sayembaran menulis novel kanak2 spt anjuran DBP. Gaya Laskar Pelangi dan koleksi novel Penyiasat Ekstrovert juga menarik untuk diteladani.
Komen oleh zulkhair — September 4, 2009 #