Bengkel skrip Pak Saffri

M Saffri A Manaf mula menulis skrip drama radio sejak 1970 dan skrip drama TV sejak 1975*. Beliau yang pernah berkhidmat dengan sepuluh penerbit diberi peluang sebagai pengendali Bengkel Penulisan Skrip Drama Radio dan TV pada 12 Julai lalu sempena sambutan Bulan Bahasa 2008 Singapura. Program ini mendapat liputan dalam berita jam 8.00 dan 11.30 malam di siaran Suria pada malamnya.

Bertempat di Pusat Komuniti Dover, Pak Saffri yang berpakaian serba hitam wajar dianggap berjaya dengan cemerlang dalam menarik perhatian dan tumpuan para peserta meskipun tanpa persembahan multimedia di skrin. Ceritanya mempersona bersulam jenaka, cermin kepada pengalaman yang cukup luas sebagai penulis skrip serta pelakon drama radio, drama TV dan teater.

Pak Saffri tidak bergantung seratus peratus kepada bahan edaran. Beliau menyerlahkan aspek-aspek penting yang perlu diberi perhatian oleh penulis skrip. Ini termasuklah aspek mesej, bahasa, humor, dan format. Mesej pendidikan, pembangunan keluarga dan ekonomi perlu diutamakan dalam membangunkan martabat Melayu di Singapura khususnya.

“Menulis bukan hendak balas dendam.” Demikian peringatan Pak Saffri. Penulis adalah tidak wajar untuk mengambil kesempatan menjadikan drama sebagai wahana untuk semudahnya ‘mengenakan’ ahli keluarga sendiri. Pun begitu, sindiran seperti ke atas suami tidak bertanggungjawab dan kaki dam wajar dibuat sebagai fenomena kebejatan sosial yang perlu dibaiki, tapi bukanlah di atas dasar emosi.

Isu bahasa rojak turut ditimbulkan oleh beliau. Beliau hairan bagaimana sesetengah penulis skrip Melayu yang gemar memasukkan dialog Bahasa Inggeris dalam karya sedangkan penulis skrip Cina terus berusaha untuk tekal menggunakan bahasa ibunda mereka terutama dalam siaran radio dan TV berbahasa Cina. Peribahasa wajar diselitkan, manakala yang lucah dan kesat hendaklah dielakkan.

Aspek humor juga mustahak untuk diberi perhatian dalam skrip. Begitu juga dengan aspek format seperti arahan dalam dialog. Sebagai contoh, arahan ‘tegas’, ‘merayu’, ‘marah’ dan lain-lain dapat membantu para pelakon dalam menjiwai perwatakan watak. Hal ini diakuri oleh pelakon veteran, Pn. J Rosmini yang hadir dalam sesi kedua bengkel.

Saya amat hargai contoh praktikal dalam menghasilkan latar bunyi menerusi beberapa ‘gajet’ yang dibawa khas oleh Pak Saffri, misalnya bunyi air yang dituang ke dalam gelas, bunyi angkat telefon, bunyi selak pintu dan lain-lain. Penjelasan beliau dan Pn. J Rosmini juga membuatkan diri saya lebih menghargai pelakon drama radio berbanding pelakon drama TV atau filem dalam aspek suara dan pensuaraan.

Bengkel ini bagaimanapun kurang sesuai untuk dihadiri oleh mereka yang tiada asas dalam penulisan fiksyen khususnya dalam penghasilan plot. Namun, saya yakin Pak Saffri sudah mengambil kira itu semua. Peserta terdiri daripada pelbagai peringkat lapisan umur termasuklah peserta dari Malaysia seramai enam orang – Puan Rahimah Muda menjadi wakil tak rasmi bagi pihak DBP Wilayah Selatan.

Secara peribadi, bengkel ini mengukuhkan lagi kefahaman terhadap genre skrip drama radio (penulisan skrip drama TV nampaknya perlukan masa lain yang lebih khusus). Di samping itu, ia memberi motivasi untuk menulis kembali skrip drama radio. Mana tahu, Pentas Radio 45 minit di Radio Warna, Ahad 10.05 pagi bakal mengudarakan karya hasil tulisan saya**.

Ruang solat yang menumpang bilik Tadika (dan kelas Yoga) sepatutnya tidak menjadi alasan kepada para peserta yang rata-rata Muslim untuk tidak cakna kepada solat. Melayu dan Muslim tidak dapat dipisahkan. Begitu juga di antara penulis Islam dengan tuntutan Islam. Solat tetap menjadi keutamaan (sekadar 10 minit cuma) biarpun terlalu banyak mutiara yang mahu dikutip dari samudera bengkel.

Sehubungan dengan itu, apakah skrip jawapan yang mahu ditulis apabila malaikat dan Tuhan mahukan penjelasan akan sebab musabab tidak dirikan solat?

Terima kasih kepada Pak Saffri. Kata-kata ‘potensi penulis skrip adalah sepanjang hayat’ cukup menginspirasi. Penghargaan tidak terhingga turut diberikan kepada Pn. J Rosmini dan pihak penganjur khususnya Pn. Zaleha Isnin. Kami diberi layanan istimewa lantaran dijemput dari Keranji MRT dan kemudian dihantar serta dijamu di Stesyen Keretapi KTM Tanjung Pagar. Terima kasih daun keladi!

* Pak Saffri merupakan pemenang Anugerah Sastera Skrip Drama Radio & TV 2005, di samping penulis buku Penglipur Lara (2007) terbitan Majlis BM Singapura.

** Drama radio Pentas Radio 45 minit memerlukan 21-25 halaman skrip.

Gambar sebelah: Sebahagian besar ‘gajet’ Pak Saffri (maaf, gambar tak tegak).

Ziarah Singapura

PADA Ahad lalu, secara solo saya ke Singapura. Pertama ziarah bapa saudara semenda Pak Ghani di Changi General Hospital. Pak Ghani, pelukis dan penulis serta pemenang SEA Write adalah antara inspirasi saya untuk berkarya. Kedua, ziarah ninda Ust Ahmad Sonhadji di Toa Payoh yang uzur (tak dapat hadir ke majlis Maulid ar-Rasul di sebuah stadium dengan kehadiran sekitar 16 ribu orang pada hari yang sama). Beliau juga antara inspirasi dalam dunia penulisan.

Pak Ghani kelihatan sedang berehat. Moga Allah anugerahkan kesihatan dan kemudahan dalam iman.

Novel Meniti Batas sebagai hadiah buat Atuk. Moga ninda Ahmad Sonhadji berada dalam rahmat kesihatan dan kemudahan daripada Allah.

Muafakat umara-ulama

SELEPAS Umar Abdul Aziz, kurangnya muafakat umara (pemimpin) dengan ulama (ilmuwan) adalah suatu fenomena. Pun begitu, semua setuju bahawa hubungan yang renggang antara dua pihak ini bakal mengundang bala kepada masyarakat dan negara ( barangkali turut dipersetujui oleh kawan2 yang hadir dalam majlis Pemuafakat Melayu di Persada Johor).

Dari satu sudut (ini sekadar idea gila2), sebahagian pemimpin sengaja tidak mahu rapat atau dengar cakap ilmuwan malah tak letak ilmuwan di tempat sepatutnya demi ‘membodohkan’ rakyat. Ilmu itu bila semakin dikuasai, maka semakin bersuluhlah kebenaran. Rakyat berilmu semakin nampak kebenaran, semakin nampak pula kezaliman lalu pemimpin yang seronok buat zalim tiada peluang untuk buat kezaliman.

Sebaliknya pemimpin yang tidak gemar buat zalim cenderung kepada ilmuwan dan hargai ilmuwan, lebih banyak beri peluang ilmuwan bercakap dan lebih banyak beri peluang kepada ilmuwan muncul dalam media bukan lebih banyak beri peluang kepada artis untuk menyanyi dan menari di atas nama hiburan.

Pemimpin Yahudi di pentas dunia sebagai contoh sengaja mahu bodohkan rakyat dunia dan goyimkan mereka (goyim adalah istilah kepada golongan bukan Yahudi dengan maksud lembu, simbol kebodohan). Umara Yahudi akan pastikan agenda hiburan diperhebat manakala budaya ilmu dilunturkan dari hati umat manusia khususnya umat Islam.

Protokol Zionis ke-13 antara lain mengesahkan agenda dan cita2 terancang Yahudi Zionis tersebut. Tidak menghairankan begitu banyak program hiburan dan jadi penghibur konon mahu jadi bintang (bagaimanapun, Nabi Muhammad s.a.w. hanya mengiktiraf para sahabat sebagai bintang untuk dicontohi dan diteladani).

Tidak hairanlah ada anak2 hari ini tak minat belajar, percayakan program jadi jutawan secara mudah sebagaimana Mawi dan Suki. Umara mesti prihatin akan isu2 sedemikian.  Pendek kata bukan mudah jadi umara adil yang dapat naungan arasy di Padang Mahsyar. Ibu bapa sebagai contoh dianggap adil apabila utamakan ilmu dalam buat keputusan serta pastikan anak2 minat kepada pelajaran dan akhlak mulia.

Gambar hiasan: Modal insan bukan sekadar hasilkan pekerja mahir dan profesional, bahkan hasilkan pemimpin adil dan gemar bekerjasama dengan ilmuwan.

Kuliah Maghrib malam tadi

Haiwan dari satu sudut jauh lebih pasrah berdoa berbanding manusia.

BANYAK perkara yang hendak dikongsikan tentang kuliah maghrib malam tadi di surau kami. Ini termasuklah soal alhamdulillah para pemenang selebiti muzik yang kontra dengan amalan Islam mereka. Juga soal doa dalam sebarang majlis. Khabarnya di Johor, hanya majlis tertentu baru diizinkan doa kalau tidak, senamrobik, perlawanan bolasepak dan seumpamanya habis diborong doa. Doa minta restu majlis sebaliknya tak jaga solat dan aurat tak perlu minta restu. Ini sekali gus imbau pengalaman peribadi yang diminta ganti oleh seorang ustaz agar baca doa dalam majlis penyerahan cek lebih RM 400 ribu untuk sebuah pasukan pancaragam. Beberapa tahun selepasnya (bila dah lama kerja) saya pun cuba menolak. Tapi bukan senang!

Saya berjuang menolak tugas baca doa untuk sebuah majlis yang ada acara karaoke dan percampuran lelaki perempuan. Beberapa alasan dan alternatif logik lagi munasabah diberikan. Akhirnya bos terima juga. Tidak dapat dinafikan doa boleh dijadikan medium dakwah, pun begitu cuba bayangkan jika teks doa anda diimbas terlebih dulu. Pada suatu masa silam saya fikir pembaca doa adalah suatu penghargaan tapi kemudian terfikir ia sebagai adat semata2 malah sebagai suatu penghinaan.

 

Tangkuban Perahu, apa yang perlu anda tahu

dsc02683.jpg

TERLALU banyak perkara yang hendak dikongsikan, pengalaman bermusafir ke Bandung, ibukota Jawa Barat yang dingin itu. Salah satu tempat menarik (selamat tempat2 membeli-belah pakaian dan buku) ialah gunung berapi Tangkuban Perahu yang dikaitkan dengan legenda Sangkuriang. Saya bagaikan tidak percaya apabila sudah berada di puncak. Udara begitu dingin, sekitar 10 darjah Celcius. Alhamdulillah sudah siap dengan persediaan. Kawah Ratu bagaikan ternganga di depan saya. Khabarnya 4 kali meletus sewaktu 1969. Saya berpeluang ke kawah yang jauh lebih kecil, Kawah Domas. Masya-Allah. Di sana terdapat beberapa kolam air panas. Ada yang bersuhu 25, 100 dan 120 darjah Celcius. Suhu udara tentulah lebih panas. Banyak juga yang perlu dibayar; tiket masuk, bayaran kepada Local Guide, dan penjual2 cenderamata yang tidak jemu mengerumuni anda persis selebriti. Lagi gambar permusafiran ke Bandung boleh dilihat di album Flickr.

Dari haram jadah ke hamparan sejadah

DEMIKIAN bunyi subtajuk sebuah artikel yang tersiar dalam sebuah majalah agama yang sempat saya beli sebelum pulang dari Bandung. Majalah tersebut memberikan fokus kepada peranan masjid kepada masyarakat. Telahan saya benar. Majalah tersebut bagai mentahkikkan bahawa Masjid Salman di hadapan Institut Teknologi Bandung (ITB) adalah model masjid kampus yang wajar dijadikan penanda aras.

dsc02521.jpg

Saya berpeluang mendirikan solat di Masjid Salman yang berada di bawah kelolaan Yayasan Salman, sempena nama sahabat Nabi, Salman al-Farisi di atas cadangan Presiden Soekarno. Sungguh mempersona. Selain ada klinik dan perpustakaan, masjid ini ada Tadika, pusat khidmat masyarakat, kantin harga patut di samping aktif dengan kelas dan bengkel haji dan umrah, pra-perkahwinan, diskusi buku dan lain-lain. Saya sempat mengambil gambar sebuah poster program umum berjudul ‘Miracle of Love’ – judul cukup menarik dan mampu memancing golongan muda-mudi.

dsc02526.jpg

Menurut Prof. Ahmad Kamal, graduan ITB, sewaktu Ramadhan pada zamannya kelihatan golongan fakir miskin beratur panjang bagi mendapat peruntukan zakat manakala sekalian dekan dan profesor bergilir membaca khutbah setiap kali Jumaat! Masjid ini ternyata bukan sekadar untuk warga kampus bahkan untuk seluruh masyarakat yang ada di sekitarnya malah terus menjadi penanda aras masjid2 kampus di seluruh Indonesia.

dsc02525.jpg

Imaduddin Andurrahman merupakan antara nama besar yang telah mencorakkan masjid ini sedemikian rupa pada tahun 70-an. Beliau yang juga dikenali sebagai Bang Imad memiliki wawasan masjid sebagai pusat peradaban. Malangnya Bang Imad ditangkap sewaktu zaman Suharto dengan dakwaan melakukan pengkaderan terhadap golongan muda yang mengancam keselamatan negara.

Pada tahun 90-an Karisma (Keluarga Remaja Islam) ditubuhkan yang fokus kepada program pembangunan remaja, ibu bapa dan hal-hal kekeluargaan. Taman bunga yang sering menjadi sarang asmaradana terlarang dijadikan tempat aktiviti luar yang menarik lagi santai. Ibu bapa sering membawa anak-anak ke Taman Ganesa di sebelah Masjid Salman pada saban minggu untuk belajar dasar2 keislaman.

dsc02527.jpg

Saya mengimpikan masjid2 di kampus tanahair khususnya dapat mencontohi Masjid Salman yang tiada hamparan permaidani ini namun mampu menjadi hamparan sejadah buat anak2 muda yang kembali kepada fitrah.

Bandung mendung

ALHAMDULILLAH. Hari ini hari ke-3 di Bandung. Bandung kini sering mendung dan hujan. Pelbagai makanan sudah dirasa termasuk masakan Sunda, ayam bakar dengan kicap manis dan Empal Cirebon. Begitu juga dengan minuman halia campur kelapa parut, Bandrek. 2 siang, 1 malam ke ITB. Selain di Dewan Aula, sempat ke perpustakaan dan juga ke Masjid Salman. Sekian dulu buat masa ini.

Ekspedisi Laluan Kedua (2nd Link)

dsc01748.jpg

GAYAT juga sewaktu berada di ‘pulau’ kaki Laluan Kedua (2nd Link) yang hubungkan Johor dan Singapura ini. Boleh dikatakan setiap ‘pulau’ dikunjungi sebagai tempat memancing. Pada waktu itu ikan tak banyak melainkan ikan buntal! Dalam gambar berikut kelihatan sebuah kapal layar. Khabarnya milik warga Singapura. Khabarnya lagi bila orang Singapura masuk sedikit ke dalam perairan Johor, tak ada masalah sebaliknya bila orang Johor masuk saja sedikit ke dalam perairan Singapura, cepat2 dihalau keluar oleh anggota keselamatan Singapura. Dalam ekspedisi ini juga, saya terasa sungguh kerdil betapa alam laut masih banyak yang belum diteroka. Alam itulah yang disebut dalam al-Quran sebagai ‘ayah’ atau ‘ayat’; petunjuk, tanda atau bukti kewujudan dan kehebatan Allah S.W.T.

dsc01745.jpg

Lagi gambar2 menarik di http://www.flickr.com/photos/14708011@N05/tags/2nd/.

Semalam, hari ini dan jemput baca

dsc00038.jpg7.30 malam (semalam)
Saya sampai di Plaza Larkin bersama Rendra untuk solat Maghrib (kembali dari Seremban). Sebelum itu, Rahimah (penyelaras seminar dan aktivis teater) turun di Shell Kemayan, Sekudai.

8.00 malam
Mengendalikan kelas fizik pertama dengan anak2 Asrama Semai Bakti Felda (belum sempat balik ke rumah).

11.00 malam
Makan malam sambil tonton Misteri Nusantara.

7.00 pagi (hari ini)
Habiskan bacaan surah al-A’raf, baca sebuah hadis riwayat at-Tarmizi dan belek buku al-Haddad tentang ilmu dan hikmah.

9.30 pagi
Sarapan.

10.30 pagi
Ke kedai buku UTM. Beli pena dan Dewan Budaya. Jemput baca rencana saya tentang Timbuktu di Dewan Budaya, Januari 2008.

Ops, jangan lupa juga baca cerpen ‘DaHANTUa’ di Siasah terbaru dan rencana tentang wacana penulisan kanak-kanak di Jendela Selatan DBP Selatan terbaru (promo, jangan tak promo!).