Bahasa Melayu Bahasa Dunia
September 29, 2009 at 11:56 pm | In Catatan musafir, Galaksi penulisan, Rambatan makluman | 4 CommentsKATA-KATA Dr. Victor A. Pogadev cukup menyengat lagi berbisa. Dia bercerita mengenai pengalaman menghadiri sebuah persidangan antarabangsa di Kota Konabalu. Semua pembentang guna bahasa Inggeris sebaliknya beliau (satu-satunya pembentang dari luar negara) menggunakan bahasa Melayu!
Persidangan Antarabangsa Bahasa Melayu Bahasa Dunia kini masih berlangsung (28-30 September 2009) di Persada Johor, JB.
Dr. Victor berkerudung hitam indah, berbangsa Rusia.
Pn. Ainon PTS dengan pembentang penuh bergaya.
Saya di sisi WB Rendra. Saya sibuk kemas kini nota kuliah untuk kuliah pada sebelah petang sementara Rendra cuba menyempurnakan sebuah puisi agung.
Usah tuduh karya fiksyen daripada sang jiwang untuk si jiwang
September 28, 2009 at 3:44 am | In Galaksi penulisan, Kosmos idea, Lohong rasa | Leave a CommentSEBAHAGIAN penulis fiksyen barangkali pernah dituduh ‘jiwang karat’ atau sekurang-kurangnya ‘jiwang’. Kata-kata tersebut ada nada gurau, namun ada juga nada sinis. Memang ada yang langsung pesimis kepada karya fiksyen, sebaliknya menganggap karya ilmiah itulah yang paling kudus dan paling relevan dalam pembangunan bangsa negara. Bagaimanapun, dia benar-benar terlupa bahawa karya fiksyen telah berjasa buat dirinya dalam meningkatkan kemahiran eja baca, tulis baca, hujah wacana.
Karya fiksyen berupaya mencairkan fakta, memasyarakatkan ilmu dan menghadamkan kefahaman dalam kalangan rakyat. Othman Puteh sebagai contoh mengorak langkah mengisi vakum karya fiksyen tanahair khusus buat khalayak kanak-kanak dan remaja. Mulai 1967, beliau menyumbang cerpen kepada majalah Dewan Pelajar hinggalah sumbangannya dihargai menerusi Hadiah Penghargaan Dewan Pelajar tahun 1979. Menurut Ali Majod, “Othman berhasrat menulis dalam bidang sastera untuk melengkapkan bahan bacaan untuk kanak-kanak. Ini kerana bahan bacaan seperti ini memberi penekanan kepada nilai moral dan sekali gus mendidik. Berbanding dengan buku teks yang lebih kepada fakta ilmu semata-mata.”
Almarhum Othman Puteh berjaya hasilkan lebih 200 buah novel/cerita kanak-kanak dan remaja. (termasuk karya selenggaraan beliau). Anuar Othman menyifatkannya sebagai Isaac Asimov Melayu manakala lebih kurang 200 latihan ilmiah dihasilkan merujuk kepada karya fiksyen Othman Puteh.
Gambar hiasan: Berapa banyak awak dapat? (Lagi gambar-gambar Eidulfitri di album http://www.flickr.com/search/?q=eidulfitri&w=14708011%40N05)
Salam Eidulfitri, maaf zahir batin
September 26, 2009 at 11:31 am | In Catatan musafir, Galaksi penulisan | 4 Comments
BUAT kenalan dunia siber khususnya, salam Eidulfitri, maaf zahir batin. Beruntunglah bagi mereka yang senang dan bahagia sewaktu berada dalam Ramadan lantaran kelak dalam 11 bulan mendatang akan berasa senang dan bahagia – bukankah kesenangan dan kebahagian itu impian semua manusia di dunia ini?
Eidulfitri kali ini di JB. Justeru, malam raya di Singapura termasuk buka puasa terakhir di sana. Kelihatan saya bersama satu-satunya ninda yang masih ada, ninda Ust Ahmad Sonhadji. Tradisi keluarga sebelah sini, salam kemaafannya agak lama disebabkan beriringan dengan doa demi doa, harapan demi harapan. Selain itu, ada juga tradisi ‘baraan’ (marhaban) yang ada saya ulas sedikit dalam Berita Harian semalam (terima kasih buat Nazmi di atas usaha anda).
Gambar2 Eidulfitri 1430H boleh dilihat di sini.
Wanita Malaysia menang lagi SEA AW, bila pula hendak menang SN?
September 19, 2009 at 1:27 am | In Kosmos idea, Resonans isu | 5 CommentsTAHNIAH buat Azmah Nordin. Wanita Malaysia sekali lagi ditabal sebagai pemenang SEA Award Writes. Sebelumnya, Zaharah Nawawi dan Adibah Amin pernah dikumandangkan namanya di kota Bangkok untuk anugerah amat berprestij itu. Terfikir, bila pula SN menjadi milik penulis wanita? Tiada salahnya SN diberi kepada wanita atau setiap tahun diberikan kepada seorang lelaki dan seorang wanita. Saya fikir, banyak wang sudah ‘dijimatkan’ lantaran sudah beberapa tahun anugerah SN tidak diberikan sebab orang Malaysia tak layak untuknya!
Orang Malaysia lebih layak dapat anugerah menyanyi. Benarkah kreativiti dalam bidang seni muzik lebih menyerlah berbanding kreativiti dalam bidang seni penulisan di negara ini?
Buku terhebat yang pernah saya baca
September 16, 2009 at 12:13 am | In Galaksi penulisan, Kosmos idea, Lohong rasa, Resonans isu | 9 CommentsHAKIKATNYA, untuk akur bahawa al-Quran itu buku terhebat bukan boleh dibuat2 atau memandai2 mengaku. Ia dibarengi oleh iman. Al-Quran itu tetap boleh dikategorikan sebagai buku; buku suci, kitab suci. Kehebatan al-Quran bukan sekadar sewaktu bulan Ramadan bahkan di sepanjang bulan dan zaman. Buku ini mengandungi petunjuk yang tak lapuk.
- Di dalamnya ada surah Yasin, jadi mengapa tak guna al-Quran untuk baca Yasin disebabkan surah Yasin yang dicetak dalam buku kecil itu tiada di surau. Mengapa sanggup kata di Masjidil-Haram tiada surah Yasin macam di Malaysia?
- Di dalamnya jelas ada hukuman sebat ke atas pesalah arak. Apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan menilai semula al-Quran? Adakah termasuk menilai semula ketetapan Allah?
- Mengupah orang membaca al-Quran di kubur kita kelak bukan jaminan terlepas daripada azab kubur.
Buku tersebut bukan sekadar menjadi rujukan yang lestari melangkaui sempadan zaman, bahkan dihafaz pula oleh ramai orang. Mana ada orang sanggup hafaz karya Shakespeare, tulisan Pramoedya juga coretan buku saya sendiri? Mana orang sanggup bertahun2 membaca surat cinta kekasihnya?
Al-Quran di Madagascar tetap serupa dengan al-Quran di Makasar. Al-Quran di Kota Bharu tetap serupa dengan al-Quran di Newcastle. Al-Quran di PJ (Parit Jawa) tetap serupa dengan al-Quran di KL (Kuala Lipis). Kalau anda menjadi imam di Istanbul dan tersilap baca ayat al-Quran, tentu anda akan dibetulkan. Versinya tunggal lagi sejagat dan sebarang perubahan ke atasnya takkan diiktiraf oleh umat seantero dunia.
Ah, kita semua wajar berefleksi kalau mahu kata inilah kitab terhebat dan teragung atau sekurang-kurangnya mengatakan bahawa inilah kitab suci.
7200 saat untuk D5000
September 13, 2009 at 11:21 pm | In Galaksi penulisan, Sains dan Iman | Leave a Comment
PAKAIAN raya sudahpun dibeli sejak sebelum Ramadan lagi. Antara kebaikannya; duit tak keluar selepuk dan elakkan diri daripada bersesak2 di pasar raya utama. Namun semalam, sebuah pasar raya utama kami kunjungi jua tapi bukan untuk sesuatu yang boleh dipakai. Moga ia merupakan pelaburan berbaloi insya-Allah – dokumentasi dan pendidikan. Perbandingan kualiti gambar D5000 dengan saingannya dapat dilihat di sini. Perbandingan dari segi spesifikasi pula dapat dilihat di sini. Bagi peminat penerbit klip video, elok dapatkan kamera video yang khusus untuknya. Justeru, kalau mahu guna kamera SLR jenis Nikon, gunakan saja D60 atau adiknya, D40. Ah, saya pun masih banyak perkara yang perlu diteroka dan dipelajari. Gambar hiasan daun dengan kepelbagaian tona hijau ciptaan Tuhan di atas adalah dengan menggunakan D40. Teknologi merakam ciptaan Tuhan terus maju ke hadapan, namun teknologi mencabar kehebatan ciptaan Tuhan masih jauh ketinggalan – merakam dan mencipta adalah suatu yang amat berbeda.
Aku makhluk paling seksa
September 10, 2009 at 12:20 am | In Galaksi penulisan, Lohong rasa | 5 Comments
ORANG Melayu itu terkenal kreatif dalam segala segi termasuklah dalam rekaan fesyen. Namun, biarlah kreativiti itu menepati syarak sebagaimana orang dahulu yang kreatif mengubah fesyen beraroma Hindu kepada fesyen beraroma Islam. Mengapa perlu kembali ke zaman lampau? Kain disentengkan, baju dikembankan?
Percayalah, seksi itu benar-benar menyeksakan. Seksi bagaikan minyak agar api berahi semakin marak.
Seksi itu tidak kekal abadi. Jenazah wanita berkemban (bertahun lamanya) yang menzahirkan bahu dan dada, tiada siapa pun peduli. Jenazah wanita berskirt singkat (bertahun lamanya) sekadar kelihatan tulang belulang. Betis dan peha segalanya sudah pupus dimamah bumi. Seperkara lagi, wanita yang suka menyeksi sewaktu mati pasti tidak mahu untuk tidak dikapankan atau dibiarkan seksi berkemban sewaktu acara pengkebumian.
Benarlah kata Ziryab dalam Manikam Kalbu (novel oleh FT), “Bahawa pakaian itu pelindung malu, petunjuk budi dan adab.”
Moga Ramadan menjadi bulan transformasi buat peminat seksi, perokok dan pelbagai sifat buruk dalam jiwa pra-muttaqin.
Bila Tuhan mencabut gigi
September 6, 2009 at 10:42 am | In Kosmos idea, Lohong rasa | 6 Comments
SEWAKTU Malam Badar Hidayah semalam, banyak sungguh perkara yang dibualkan. Seorang teman kelihatan ada kelainan sikit di wajahnya lantaran ada rompong di barisan gigi bahagian atas. Dia dan kami pun bermuhasabah, Tuhan akhirnya mencabut giginya itu sewaktu berusia 49 tahun. Bagaimanapun beberapa hari lalu, Tuhan mencabut nyawa sahabatnya yang berusia lebih muda, 46 tahun. Bila gigi dicabut maknanya sebahagian dpd nikmat dunia ini ditarik/dicabut Tuhan. Nah, nikmat gigi sungguh terasa di kala ia dicabut atau tercabut.
KOMA
Seorang teman yang lain pula berkongsi tazkirah daripada suatu kuliah, “Saya berusaha membeli makanan daripada orang yang berhijab sewaktu berkunjung di bazar Ramadan. Bayangkan, kalau di depan orang ramai dia sanggup membuka tudung sambil menjual makanan, bagaimana keadaannya bila dia menyediakan makanan tersebut?” Hu, hu, hu. Suatu kenyataan yang….
Gambar hiasan: Menunggu beduk berbunyi.
Usai tarawih, waktu terbaik untuk menulis dll
September 4, 2009 at 4:46 pm | In Galaksi penulisan, Kosmos idea, Sains dan Iman | 4 Comments
SEMALAM di BH, berita tentang bicara novel saya dll tempoh hari disiarkan. Kertas kerja yang dibentangkan dlm Perhimpunan Penulisan PENA di Melaka lalu dipilih utk disiarkan dalam Dewan Sastera keluaran September. Siapa sangka dalam banyak2 kertas kerja (tak silap 18 semuanya), kertas kerja SN Dr Anwar Ridhuan dan saya dipilih editor – terima kasih daun keladi. Ops, tadi saya terfikir. Antara waktu terbaik menulis adalah selepas tarawih. Kajian hubungan otak dan solat oleh Ng dalam buku SOLAT & SAINS (buku ini memang hebat dan mesti dibeli untuk buat DOBI), membuktikan bahawa gelombang alpha dikeluarkan oleh otak usai solat – tahap tenang serta bersedia utk fikir serius. Bagaimanapun, kalau tidoq sewaktu tarawih, gelombang lain pula yang keluar!
KOMA
Agar lewat tersedar. Artikel saya mengenai kota ilmu Mali, Timbuktu sebelum abad ke-16 (yang tersiar dalam MuslimHeritage.com) dipilih dalam senarai rujukan bagi tulisan ‘Sankore Madrasa’ dalam WIKIPEDIA. Moga ada manfaat buat umat sejagat.
Gambar hiasan: Ini sekadar hiasan, solat tarawih tidak dilakukan dalam waktu siang.
Malam Badar dan berlumba2 memberi sewaktu Ramadan
September 4, 2009 at 1:16 am | In Lohong rasa, Rambatan makluman | Leave a CommentMALAM Badar acara tahunan SMI dan SRI Hidayah akan kembali lagi dan kini dengan sasaran kutipan RM 120k. Untuk makluman lanjut, sila ke sini. Ternyata bukan mudah membina akademi ‘fantasolehah’ berbanding membina akademi fantasia dengan tajaan hingga berjuta2 ringgit.
Ada banyak lagi peluang untuk anda memberi. Antaranya termasuklah:
- Masjid, surau, kumpulan muallaf, anak yatim dan badan kebajikan setempat. Menurut sunnah utamakan, ahli keluarga yang amat memerlukan.
- Projek Iftar Ramadan di Mindanao oleh Aksi Cepat Tanggap (ACT). Menurut Pegerusi ACT Malaysia, “Pada Mei, 2008 telah keluar satu laporan tentang pelarian perang seluruh dunia oleh agensi antarabangsa dari Norway yang meletakkan pelarian-pelarian perang Mindanao (Internally Displaced People – IDP) paling top di dalam senarai yang dilupakan oleh dunia (apalagi oleh dunia Islam!). Ranking Mindanao lebih tinggi dari Palestin, Iraq dan lain-lainnya. Keyword di sini ialah ‘dilupakan’. Tentunya, orang yang dilupakan tentunya memerlukan lebih perhatian dari orang yang tidak dilupakan dan mendapat perhatian dari dunia. Apatah lagi kalau mereka (umat Islam Mindanao) bukan orang lain, berjiran dengan kita. Laporan mutakhir yang kita dapat 2 minggu lagi hampir 300 ribu sudah menjadi IDP. Namun apa yang berlaku atau reaksi kita di Malaysia? Nothing happens, right?”
- Projek Iftar Ramadan di Palestin oleh Aman Palestin. Isu al-Quds terus relevan selagi ia berada di bawah cengkaman Zionis, sementara umat amat sukar untuk sujud dalam Masjid al-Aqsa.
Blog di WordPress.com. | Theme: Pool by Borja Fernandez.
Entries and comments feeds.










