Fiksyen sains, proses ciptanya paling sukar

Judul : Notes to Science Fiction Writers

Penulis : Ben Bova

Penerbit : Houghton Mifflin Company, Boston (1981)

Halaman : 193 (termasuk bibliografi)

Hasilkan karya fiksyen sains (FS) paling sukar? Demikian pendapat Isaac Asimov yang dipetik oleh penulis dalam bab pertama. Karya FS amat bergantung kepada IDEA atau dengan kata lain, IDEA adalah hero utama dalam FS. IDEA harus mantap, tidak klise dan ia belum pernah berlaku dalam dunia nyata. Namun ia bukanlah fantasi, tapi ada unsur saintifik yang melandasi kepada prinsip, teori dan premis sains tertentu.

Walau bagaimanapun, idea semata-mata takkan dapat berdiri dengan sendirinya. IDEA perlukan sentuhan nilai seni dan nilai kraf yang tekun lagi tabah sehingga mampu menyempurnakan sesebuah karya FS. Menurut Ben Bova yang menjadi editor kepada Science Fiction Hall of Fame (1973) menyifatkan nilai kraf boleh diajar. Ia berupa asas-asas kemahiran menulis.

Buku ini sebenarnya membabitkan beberapa mauduk penting berkaitan asas kemahiran menulis fiksyen (khas untuk diaplikasi dalam FS) iaitu watak, latar, konflik dan plot. Setiap mauduk tersebut disisipi dengan beberapa petikan karya FS yang pernah diterbitkan.

Sebagai contoh, petikan cerita Men of Good Will menjadi sisipan kepada aspek latar. Latar di bulan sehingga orang Amerika dan Rusia saling berdamai dan tidak serang-menyerang sebagaimana di bumi, cuba diserlahkan sebagai contoh latar yang baik. The Shining Ones dscn1753.jpgdengan kisah alien memandang manusia di bumi seumpama makhluk dalam zoo dan kemudiannya dikepung oleh militari, memiliki plot untuk diteladani.

Penulis turut memetik pandangan Poul Anderson (antara penulis FS tersohor di Barat) yang memanfaatkan kelima-lima pancaindera protagonis bagi menguatkan watak dan cerita. Hal ini malah digunapakai oleh mana-mana penulis fiksyen termasuklah Fatimah Busu yang membahaskannya dengan agak panjang lebar dalam buku penulisan kreatifnya.

Watak protagonis dalam FS mesti hebat dan unggul sebagaimana Hamlet ciptaan Shakespeare. Ia mesti hebat supaya dapat menang dalam pelbagai konflik terutama dalam kemuncak konflik. Menurut penulis, konflik boleh dimulakan dalam bentuk konflik pemikiran dalam protagonis. Namun ia hanya benar dalam novel. Dalam cerpen, konflik sebaliknya sudahpun tersedia menggelodak dan masak dalam diri protagonis.

Penulis mengambil kisah Robin Hood sebagai contoh dengan menyifatkan konflik dalam protagonis (Robin Hood) iaitu tanggungjawab lawan keadilan membawa kepada konflik peribadi Robin Hood lawan Sheriff of Nottingham. Ia malah membabitkan beberapa konflik kecil seperti sama ada orang kampung hendak melibatkan diri dengan Robin Hood atau tidak dan lain-lain.

Menurut penulis lagi, watak utama tidak harus dimatikan melainkan boleh memberikan dampak besar dan siri perubahan besar yang dapat memberi manfaat kepada pihak lain. Sehubungan ini, saya teringatkan watak ‘ghulam’ dalam sebuah hadis panjang yang mati dibunuh raja, namun akhirnya menyebabkan sekalian orang ramai beriman kepada Allah.

Untuk dapat idea FS, Ben Bovi antara lain cadangkan agar banyak membaca majalah dan penerbitan yang berorientasikan saintifik selain menjadi pemerhat yang baik terhadap manusia dan apa sahaja yang ada di sekeliling. Banyak timbulkan persoalan ‘Bagaimana jika…?’ dalam benak.

Sebagaimana contoh: Bagaimana jika ada seseorang yang merekacipta alat pengesan bohong yang paling tepat dan canggih? Bagaimana jika konflik dalaman manusia diaplikasi dalam virus, robot, haiwan atau apa sahaja? Bagaimana jika manusia membuat petempatan di bulan? Bagaimana jika penulis ulasan buku ini ialah waris kepada Asimov yang mempunyai darah Melayu?

Tip terakhir daripada penulis adalah kaedah juxtaposition. Hmm, dapatkan buku ini atau kita boleh berdiskusi sambil minum teh tarik….

Advertisements

4 thoughts on “Fiksyen sains, proses ciptanya paling sukar

  1. Bagaimana ya? Michael Crichton, dengan latar pendidikan perubatan, menghasilkan fiksyen-fiksyen Jurassic Park, Jurassic Park – The Lost World, Sphere, dan yang lainnya (ahem! Disclosure juga punya elemen saintifik, memperkenalkan saya kepada “email” sekitar tahun1993 lalu)? Pengetahuan sains dimanipulasi sehingga ke tahap tak munasabah, walaupun hati kecil gatal-gatal berbisik “this can be true, yes, but…” Pengagungan sains yang keterlaluan oleh karyawan seni dan kesusasteraan barat disokong dengan prasarana yang canggih memang bisa memperdaya akal-akal kosong. Harus diingat, keluasan ilmu Allah itu memang tidak tercapai akal menduganya. Saintis dan karyawan Islam harus bangkit hasilkan fiksyen saintifik yang bukan sekadar menonjolkan kehebatan sains tetapi berupaya menarik khalayak untuk memikir dan akhirnya tunduk akan kebesaran Allah, cantikkan gitu?

  2. Ada suatu perkara menarik yang diperkatakan di sini. Ben Bova (mengikut ulasan saudara) ingin menetapkan bahawa watak utama novel itu perlu hebat dan unggul menangani konflik. Menariknya, perkara ini ada unsur romantisme (idea seorang ksatira melawan naga dan menyelamatkan sang puteri). Lebih menarik lagi, karya2 Jules Verne dan H. G. Wells, pelopor FS (terutamanya Time Machine, Journey to the Centre of the Earth, Foods of the Gods, 20,000 League Under the Sea) dipanggil ‘romance science’ kerana kesusahpayahan yang perlu diliku oleh protoganis mereka mencapai satu destinasi. Ini juga terserlah dalam Dune James Herbert, walaupun ia lebih kompleks daripada yang disangkakan. Tetapi bagaimana pula Ben Bova melihat pada penciptaan-penciptaan Philip K. Dick atau Neuromancer itu? Saya ada membaca sebuah FS, WE tulisan seorang penulis FS Rusia, ceritanya lagilah, sebuah satira tentang dunia konformiti (menyindir sosial kemanusiaan komunisme) tanpa watak utamanya unggul, lantas menerima saja idea yang disuntik terhadapnya. Bagaimana ya?

  3. Saya fikir, watak yang ‘mesti’ diherokan dalam karya AS adalah disebabkan oleh budaya AS itu sendiri yang umumnya anggap diri paling hebat dan terbaik berbanding orang lain. Tidak menghairankan jika mereka yang biasa dengan karya begini sukar terima apabila hero dimatikan sebagaimana Azizi sering matikan protagonis. Namun dalam dunia komersial, kajian pasaran (minat pembaca dan penonton) amat penting. Saya tiada data. Namun, umumnya ramai yang mahukan hero adalah hero dan unggul, dan ‘happy ending’. Lantas, karyawan berkarya untuk apa? Untuk karyanya banyak laku atau semata2 untuk seni dan estetik?

  4. Pingback: Penulisan fiksyen sains 2 « Idea menulis

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s