Dirikan solat sekalipun berada di angkasa lepas

GARIS Panduan Pelaksanaan Ibadah di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada April lalu adalah simbol kepada keprihatinan Malaysia terhadap isu solat sekalipun berada di angkasa lepas, malah inilah garis panduan pertama di dunia yang seumpama dengannya.

Ini secara tidak langsung meneruskan tradisi paduan agama dan sains (termasuk sains astronomi) juga gabungan ulama dan saintis sebagaimana yang telah dilakukan oleh para ilmuan Islam silam sama ada dalam bidang fiqh mahupun dalam bidang inovasi dan reka cipta.

Garis panduan tersebut merupakan ekoran daripada Seminar Islam Dan Kehidupan Di Angkasa anjuran Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) dengan kerjasama JAKIM pada 25-26 April 2006.

Antara isu yang dikupas dalam garis panduan tersebut ialah isu mengambil wuduk dan tayamum, isu penentuan kiblat, isu penentuan waktu solat serta isu mendirikan solat itu sendiri. Selain itu terdapat juga jawapan kepada isu pengurusan jenazah di samping soal makanan, etika berpakaian dan etika bermusafir.

Wuduk boleh diambil dengan cara bertayamum sahaja sewaktu berada di angkasa lepas. Biarpun tiada debu, angkasawan diharuskan menepuk ISS seperti dinding, cermin dan sebagainya sewaktu bertayamum.

Dalam keadaan ISS yang terletak 402.34 kilometer dari bumi di angkasa lepas, penentuan qiblat adalah mengikut kemampuan berdasarkan urutan berikut: Kaabah, unjuran Kaabah, bumi dan mana-mana arah.

Sehubungan itu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telahpun berjaya mencipta mesin kalkulator pada tahun 2006 yang boleh menentukan arah kiblat malah sekali gus menentukan waktu solat di ISS. Arah kiblat berasaskan kepada konsep unjuran Kaabah atau Tiang Kiblat maya.

Menurut ketua penyelidik projek kalkulator tersebut, Prof Madya Dr Zainol Abidin Abdul Rashid menerangkan bahawa konsep tersebut merujuk kepada tafsiran Baitul Ma’mur yang dijelaskan dalam al-Quran iaitu sebagai rumah suci di langit tempat malaikat beribadat dan bertawaf mengelilinginya.

Sebelum ini, sebahagian ulama memfatwakan bahawa penentuan arah kiblat sewaktu berada di angkasa lepas hendaklah merujuk kepada arah bumi. Dr. Zainol Abidin penyelidik dari Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Elektronik dan Sistem UKM itu bagaimanapun mempunyai pendapat yang berbeza.

“Perlu diingat, Islam adalah agama ilmu dan tertib. Andaian membenarkan seseorang solat dalam mana-mana arah ketika darurat kurang wajar jika ada ilmu atau kaedah menentukan kiblat di tempat atau ruang berkenaan,” hujah beliau.

Penemuan mesin kalkulator yang diberi nama Muslim in Space ini pernah menggondol pingat emas dalam Pameran Industri dan Teknologi (ITEX) tahun 2004. Ia pernah mendapat liputan secara langsung dan tidak langsung dalam akhbar Telegraph (UK), majalah Discover dan majalah NewScientist.

Penemuan ini juga menjawab persoalan yang ditimbulkan oleh Alan Godlas, Profesor Agama Universiti Georgia, Amerika Syarikat bahawa halaju ISS sehingga mencecah 28 ribu kilometer sejam (90 minit untuk setiap pusingan lengkap ISS mengelilingi bumi) menyukarkan orang Islam untuk solat menghadap ke arah Kaabah di Mekah.

Muslim in Space yang mendapat perhatian dan pengiktirafan di peringkat antarabangsa ini turut mengingatkan kepada penemuan dan penciptaan Astrolab bagi menyelesaikan masalah penentuan arah kiblat di atas bumi dan dikatakan mula dicipta pada tahun 1230 oleh al-Sarraj.

Sebuah inovasi astrolab buatan Parsi abad ke-17 boleh menentukan arah kiblat dan kedudukan 46 buah kota dari Baghdad hinggalah ke Balkh di utara Afghanistan. Astrolab yang asal maknanya penggamit bintang itu boleh juga digunakan untuk mengukur ukurlilit bumi dan memetai bintang-bintang di langit.

Bagaimana pula dengan masalah waktu solat? Perlu dimaklumi bahwa ISS mengorbit sebanyak 16 kali dalam tempoh 24 jam atau sehari. Ini bermakna kalau dalam sehari umat Islam diwajibkan solat lima waktu, adakah ketika berada di ISS orang Islam wajib mendirikan solat sebanyak 16 X 5 = 80 kali dalam sehari?

Perisian kalkulator tersebut juga dapat mengira kaedah pemetaan bagi mengurangkan 80 waktu solat kepada hanya lima kali dalam sehari sewaktu berada di ISS. Garis panduan yang dikeluarkan oleh Jakim memutuskan bahwa, waktu solat hendaklah merujuk kepada waktu solat di mana angkasawan berkenaan berlepas (Kazakhstan, bagi angkasawan pertama Malaysia).

Dengan cara yang sama, waktu puasa Ramadhan juga merujuk kepada waktu puasa di mana tempat berlepas angkasawan. Angkasawan malah diberi kelonggaran untuk menunaikan puasa sama ada di ISS atau di bumi secara qada’.

Isu makanan di angkasa lepas pula perlu dijawab dengan baik menerusi beberapa siri penyelidikan dan pembangunan (R&D) biarpun garis panduan yang diterbitkan oleh JAKIM menyatakan bahawa ‘Sekiranya makanan yang disediakan diragui halal, maka diharuskan memakannya sekadar mengalas lapar.’.

Kalau NASA sudah beberapa tahun menganjurkan pertandingan mencipta makanan khusus buat angkasawan di angkasa lepas (NASA Food Technology Commercial Space Center Product Development Competition), sudah sampai masanya Malaysia menganjurkan pertandingan mencipta menu makanan halal lagi berkhasiat dalam samudera vakum di atas sana.

Masih terdapat banyak ruang yang belum diterokai dan perlu dikaji dalam bidang sains astronomi yang berkaitan rapat dengan urusan umat Islam. Pihak Agensi Angkasa Nasional (Angkasa) yang diterajui oleh Prof. Datuk. Dr Mazlan Othman tentu akan meneruskan usaha murni penganjuran Seminar Islam Dan Kehidupan Di Angkasa.

TAMAT

* Ditulis untuk Estidotmy Sepetember 2007 oleh ZAHERAH ISMAIL & ZULKIFLI KHAIR.

Advertisements

4 thoughts on “Dirikan solat sekalipun berada di angkasa lepas

  1. Sebenarnya dah terjumpa blog2 Mokhzani sebelum ini. Very informative. Beritahu, kalau buku teori dajjalic enta terbit. Pastinya ia terbit di UK. Tentu gempaq.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s