Inovasi bukan lagi kalimat bombastik

Artikel berikut merupakan hasil penulisan bersama Zaherah Ismail dan Zulkifli Khair yang telah tersiar di Estidotmy, majalah sisipan Utusan Malaysia bulan lepas.

INOVASI kini bukan lagi kalimat bombastik. Pertandingan inovasi di peringkat sekolah dan pemilihan nama Kementerian Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) antara lain telah memasyarakatkan kalimat tersebut seiring dengan usaha pihak kerajaan membudayakan pemikiran inovatif dalam kalangan rakyat.

Perkataan ‘inovasi’ (innovation dalam bahasa Inggeris) dipercayai diperkenalkan buat pertama kali oleh pemenang Hadiah Nobel Ekonomi, Joseph Schumpeter. Schumpeter melihat inovasi sebagai suatu proses penting dalam bisnes dan ekonomi. Menurut beliau lagi, inovasi membabitkan aplikasi perkara-perkara berikut:

      1. Material dan komponen baru (teknologi).
      2. Pengenalan proses baru (aplikasi).
      3. Membuka pasaran baru (pasaran).
      4. Memperkenalkan pembentukan organisasi baru (organisasi).

Inovasi bagaimanapun tidak boleh diseertikan dengan reka cipta lantaran reka cipta melibatkan aspek penemuan terbaru lagi asli seperti penemuan vaksin dan transistor. Inovasi merupakan suatu bentuk pembaikan dan perubahan berasaskan kepada suatu penemuan.

Ada pendapat mengatakan bahawa era reka cipta telah lama berakhir. Pusat Paten Amerika Syarikat misalnya mendakwa bahawa semua reka cipta sudahpun dihasilkan oleh manusia. Apa yang saintis, jurutera dan inovator lakukan kini bukanlah mereka cipta melainkan melakukan perubahan, pembaikan, dan memberikan nilai tambah.

Sehubungan itu, Mukerjea berpendapat bahawa, ‘setiap reka cipta adalah inovasi, tetapi banyak inovasi bukanlah suatu reka cipta.’ Menurut Frascati Manual, produk inovasi dapat dibahagikan kepada tiga jenis:

      1. Jenis radikal iaitu produk yang umumnya benar-benar baru berasaskan idea saintifik.
      2. Jenis gabungan. Dua atau lebih produk digabungkan sehingga menghasilkan produk yang tidak pernah wujud sebelumnya.
      3. Jenis naik taraf. Sesuatu produk dinaik taraf agar menjadi lebih baik.

Contoh inovasi radikal ialah alat perakam video, ketuhar gelombang mikro dan jantung tiruan. Contoh inovasi jenis gabungan ialah walkman yang menggabungkan fon telinga dengan alat pemain kaset, ketuhar gelombang mikro yang digabungkan dengan oven dan sistem pengimbasan bar code di surat dan bungkusan yang dihantar.

Bagi inovasi jenis naik taraf pula, contohnya ialah telefon bimbit yang boleh bergetar dan merakam suara di samping berkamera. Tidak dinafikan bahawa, ia terdapat penindanan dengan kategori inovasi jenis gabungan. Kereta nasional yang lebih canggih dan cat tanpa bau juga boleh dikategorikan sebagai inovasi naik taraf.

Produk inovasi bagaimanapun bukan sekadar membabitkan teknologi tinggi dan elektronik. Penciptaan permainan baru untuk kanak-kanak dan penciptaan makanan baru untuk angkasawan sewaktu berada di ruang angkasa lepas juga merupakan suatu bentuk inovasi.

Selain itu, inovasi juga bukan sekadar berbentuk fizikal. Ia juga boleh berbentuk sistem, proses, kaedah dan prosedur seperti kaedah mengesan penyakit angin ahmar dan pakej pelancongan. Sistem assembly line dalam industri pembuatan kereta merupakan suatu bentuk inovasi jenis ini yang dihasilkan oleh Henry Ford.

Inovator ialah orang yang melakukan inovasi. Perdana Menteri, pengetua, pengarah syarikat dan penulis boleh menjadi inovator dalam bidang masing-masing. Inovator antara lain berusaha untuk mengurangkan kos, meningkatkan kualiti, memaksimumkan kepuasan pelanggan dan menghasilkan produk atau perkhidmatan baru.

Ia tidak semestinya terdiri dalam kalangan penyelidik di institusi pengajian tinggi serta pusat-pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) awam dan swasta biarpun dalam konteks Malaysia, merekalah yang paling banyak menggondol anugerah-anugerah inovasi.

Henry Ford bukan pensyarah universiti dan bukan penyelidik di pusat R&D, namun dia ialah inovator dalam bidangnya iaitu industri pembuatan kereta. Begitu juga dengan Akio Morita (tokoh inovator Sony) dan Zulkifli Haron – mereka ialah inovator tanpa memiliki ijazah PhD.

Inovator tentunya memerlukan ilmu, namun PhD bukan syarat mutlak untuk bergelar inovator. Inovator perlukan sifat berani dan boleh mengambil risiko, berkebolehan memahami dan menggunakan pengetahuan teknikal yang kompleks di samping berkebolehan berhadapan dengan ketakpastian.

Akio Morita sebagai contoh pada tahun 1960, berani mengambil risiko membina kilang di Amerika Syarikat biarpun produk radio transistor Sony yang dijual di negara itu sejak tahun 1955 kurang mendapat sambutan. Tambahan pula, sebahagian pengguna Amerika Syarikat mempunyai persepsi terhadap produk Jepun sebagai ‘barang mainan murahan’.

Selepas kilang beroperasi, Sony mengalami ancaman mogok. Namun siapa sangka, pada September 1970, Sony disenaraikan di Bursa Saham New York! Selang setahun, Sony menubuhkan kilang di Wales, United Kingdom, dengan fokus kepada produk perakam video.

Menjelang tahun 1992, 80% daripada rumah kediaman di Jepun mempunyai perakam video, 61% sistem stereo, dan 42% pemain cakera padat. Pada tahun 1998, Sony dianggarkan mempunyai 173 000 pekerja di seluruh dunia dengan pendapatan bersih melebihi US$1.5 bilion.

Pencapaian Morito dan Sony ini menggambarkan eratnya hubungan di antara inovasi dengan bisnes dan ekonomi dalam era kini. Salah satu pelajaran yang boleh diambil untuk cemerlang dalam inovasi adalah dengan menubuhkan pusat R&D sebagaimana Sony menubuhkan pusat R&D-nya sejak tahun 1960 lagi.

Itulah sebabnya semua kerajaan di dunia pada hari ini berusaha menekankan aspek inovasi dalam pemerkasaan ekonomi. Mereka meningkatkan bajet dalam tumpuan kepada aspek R&D. Kerjaya saintis dan penyelidik menjadi semakin penting. Begitu juga dengan aspek harta intelek.

Justeru itu, setiap warga Malaysia harus berusaha menjadi inovator dalam bidang bidang masing-masing. Pemimpin organisasi tentunya mempunyai tanggungjawab yang lebih besar agar daya kreatif dan inovatif orang bawahannya tidak terus dibunuh dan diperlekehkan seperti pesan Morita:

“The purpose is to create an ideal workplace, free, dynamic and joyous, where dedicated engineers will be able to realize their craft and skills at the highest possible level. We shall eliminate any untoward profit-seeking and shall constantly emphasize activities of real substance”.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s