Bila Tuhan Berbicara dari perspektif dakwah

Artikel berikut tersiar dalam Siasah Januari.

FAISAL Tehrani terus prolifik dalam penghasilan karya sastera beraroma Islam. Bila Tuhan Berbicara yang terbit pada tahun 2007 ada kelainan tersendiri. Pertama, ia sebagai novel drama. Kedua, ia sebagai novel serius yang penuh dengan wacana agama dan agak sarat dengan nilai dakwah dari segi sejarah, bahan, dan metodologi dakwah. Novel serius menurut Faisal, ada fungsi intelek dan fungsi estetik (lihat Tunas Cipta, April 2006).

Tiga lelaki terperangkap dalam bunker akibat gempa bumi, taufan dan letupan gunung berapi. Mereka persis ashabul kahfi yang tidur berabad-abad lamanya lalu bangkit dari tidur dalam suatu zaman yang cukup asing. Zaman baru itu diperintah oleh wanita, Paduka Ratu yang akhirnya terpaut dengan kebenaran dan keindahan Islam sebagaimana yang dibawa oleh Sahlan, Razlan, dan Mazlan.

Karya yang ada unsur intertekstualiti ini turut mengemukakan hipotesis-hipotesis menarik berbaur fantasi. Bagaimana kalau Nusantara dimusnahkan lalu dibangkitkan menjadi sebuah nusa, menafikan sempadan geografi dan politik masa kini? Bagaimana kalau Tuhan musnahkan Nusantara yang semakin penuh dengan maksiat, lalu menjadi wilayah baru yang penuh nilai keinsanan?

Sejarah dakwah di Nusantara cuba disorot oleh Faisal dalam beberapa halaman. Ada teori kedatangan Islam dari Tiongkok atau China dan ada juga teori kedatangan Islam dari Timur Tengah yang lazim diperkata oleh para sejarawan. Buku ini menyentuh kedatangan Islam di Nusantara kepada tiga peringkat zaman; 674, 878 (Islam bertapak di pelabuhan), dan 1204 (peluk Islam beramai-ramai setelah pemimpin memeluk Islam).

Bahan dakwah terlalu banyak. Cerita tentang gunung berapi dan penyakit sopak misalnya sungguh panjang lebar, malah sesiapa yang mahu menyiapkan tugasan mengenai mauduk-mauduk tersebut boleh saja sekadar jadikan novel ini sebagai bahan rujukan utama.

Bagi aktivis dakwah, tiada salahnya membumbui kebenaran dengan fakta-fakta sains. Semuanya dengan tujuan meningkatkan daya tarikan dan pesona agar mudah khalayak menerima mesej kebenaran, agar mudah manusia kembali fitrah lalu harmoni bersama fitrah alam yang selama ini muslim iaitu tunduk dan patuh kepada segala peraturan dan ketetapan Allah.

Fakta-fakta agama juga banyak. Sebagai contoh, Faisal secara sengaja membangkang amalan transeksualisme menerusi watak Sahlan yang berkongsi keputusan muzakarah jawatankuasa fatwa kali keempat bertarikh 13 April 1982. Malah amalan meniru kelakuan jantina lain juga turut ditentang dengan sokongan beberapa hadis sahih di samping beberapa hujah logik yang lain.

Faisal ternyata menyokong aliran karya fitrah Sasterawan Negara Noordin Hassan. Menurut watak Pengarah, “Macam yang Cikgu Noordin tekankan dalam teater fitrah, hidup kita inikan terikat dengan perjanjian awal kita manusia sebagai hamba dengan Allah sebagai Pencipta, lama dahulu sebelum diutus ke bumi ini.”

Teater fitrah inilah yang saya maksudkan sebagai salah satu gagasan metodologi dakwah oleh Faisal. Selain itu adalah keseluruhan novel drama ini sendiri. Kalau merujuk kepada halaman 70, 71, dan 284, Faisal menyifatkan novel falsafah Islam ini jauh lebih baik daripada drama menceceh penuh absurd berakarkan surealisme tahun 70-an karya Dinsman, Johan Jaafar dan lain-lain.

Anda wajar mengeluh sewaktu membaca novel ini sebagaimana kata Mazlan, “Aduh pengarang, banyak betul wacana dalam drama ini. Siapa yang mahu menontonnya?”. Kalau anda penggiat teater, tentu lebih banyak mengeluh demi menyunting novel drama ini sebelum dipentaskan di khalayak. Novel ini memang agak berat sesuai sebagai sebuah novel falsafah.

Bagaimanapun, Faisal secara tersirat mahu memberitahu kepada khalayak karyawan dan seniman supaya serius menjadikan karya masing-masing sebagai medium dakwah. Faisal juga mahukan agar dakwah menjadi suatu tanggungjawab semua pihak lantaran dakwah bukan saja tugas ulama sebagaimana watak Sahlan yang menyanggah kata-kata Mazlan, “…dakwah buat di masjid sajalah. Kenapa nak buat di panggung?”

Susahkah karya hendak jadi karya dakwah, sampaikan risalah kebenaran? Jawapannya ada di halaman 138 dan 139 iaitu ‘penguasaan ilmu pengetahuan dalam kalangan seniman muslim’. Penguasaan ilmu itu tentunya mesti dibarengi dengan kemahuan dan kehendak sebagaimana kita sendiri yang mahu atau tidak mahu mendengar bicara Tuhan.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s