Tulisan Cina di masjid

* Artikel berikut (ini yang asal, bukan artikel penuh) diterbitkan dalam Millenia Muslim, April 2008.

INI kali kedua saya saksikan tulisan Cina (di tempat berbeza) ditampal atau dengan kata lain cuba dinyahkan dalam pandangan. Lantas, segera saya ambil gambar dan berusaha menyiapkan sebuah tulisan tentangnya dengan kadar segera. Apakah dengan membiarkan tulisan ini tanpa ditutup dapat ‘membesarkan kepala’ kaum Cina? Benarkah masjid yang menzahirkan tulisan ini kurang nilai keislamannya?

Menampal tulisan tersebut tidaklah berdosa. Namun, artikel ini sekadar ingin menyorot soal sikap dan persepsi tentang tulisan sekali gus kaum Tionghoa atau kaum Cina sebagai kaum kedua terbesar di negara ini dari perspektif dakwah. Persepsi Tionghoa dengan konotasi tidak Islam dan Melayu sebagai Islam hanya merugikan umat sebagaimana Arab itu lebih Islamnya, bukan Arab (a’jam) kurang Islamnya.

Di Masjidil Haram dan Masjid an-Nabawi, terjemahan al-Quran dalam tulisan Tionghoa dapat anda temui dengan mudah, ternyata ia tidak salah atau haram diletakkan di dua buah masjid agung tersebut. Jemaah haji dari negara China khususnya juga tidak dilarang bertutur dalam bahasa ibunda mereka. Jemaah haji China dibenarkan masuk ke dalam kota Mekah dan Madinah disebabkan akidah yang salimah.

Di Nusantara, sejarawan tidak dapat menafikan peranan kaum dan bangsa yang umumnya bermata sepet itu terhadap penyebaran Islam, pengislaman umat Melayu dan pembinaan masjid berciri kecinaan sebagaimana yang lestari wujud dengan banyaknya di Melaka pada hari ini. Dipercayai, orang Tionghoa lebih awal mengucap dua kalimah syahadah berbanding orang Melayu.

Mungkin masih ramai yang tidak menyedari bahawa Laksamana Cheng Ho yang pernah berurusan dengan Kerajaan Melayu Melaka itu seorang muslim. Cheng Ho atau Zheng He berkhidmat dengan kerajaan Tiongkok (China) yang pada masa itu berada di bawah pemerintahan Dinasti Ming (1368 – 1644).

Cheng Ho dengan nama asalnya Ma He atau Ma Ho dilahirkan pada tahun 1371 daripada sebuah keluarga berketurunan Hui yang terkenal soleh di wilayah Yunnan di barat laut China. Pemergian bapa dan datuk beliau mengerjakan haji di Mekah banyak mempengaruhi beliau untuk menjadi ahli pelayaran ketika dewasa di samping bercita-cita untuk mengerjakan haji.

Ma He selain berbahasa Cina juga mempelajari bahasa Arab. Sewaktu Yunnan ditawan oleh Dinasti Ming, Ma He (berumur 10 tahun) dibawa sebagai tawanan perang. Beliau kemudian diserapkan dalam tentera. Ma He bertindak cemerlang dalam peperangan menghadapi Monggol sehingga berjaya menawan kota Nanjing.

Sebagai membalas jasa beliau, Ma He diberi gelaran Zheng dan diberi jawatan panglima oleh maharaja.
Beliau seterusnya dilantik sebagai laksamana bagi menjalankan tugas-tugas diplomatik. Direkodkan, jumlah anggota rombongannya ialah 27,500 orang dan majoritinya adalah beragama Islam. Sebelum berangkat belayar, beliau dikatakan sering mendirikan solat secara berjemaah bersama anggota rombongannya!

Di Indonesia, nama Cheng Ho diabadikan pada sebuah yayasan yang ditubuhkan sejak tahun 1995, Yayasan Muhammad Cheng Ho manakala Masjid Muhammad Cheng Ho didirikan di Surabaya pada tahun 2002. Masjid semirip bentuk kuil Tao tersebut antara lain mempunyai imej dakwah dengan mesej tersirat bahawa Tionghoa dan Islam bukanlah suatu yang bertentangan manakala nenek moyang Tionghoa pada zaman dahulu kala ramai yang beragama Islam.

Tidak dapat disangkal bahawa persepsi dan amalan ‘memelayukan Islam’ telah merencatkan usaha dakwah kepada golongan bukan Islam khususnya di Malaysia. Sinonim masuk Islam sebagai masuk Melayu mesti dikikis. Islam ialah agama. Melayu pula bukan agama. Seruan dakwah seruan agama. Seruan dakwah bukan seruan kaum dan bangsa.

Hal tersebut diakuri oleh Dr. Osman Abdullah @ Chuah Hock Leng menerusi Preaching to the Non Muslim Chinese in Malaysia. Majoriti kaum Tionghoa enggan memeluk Islam disebabkan ada unsur paksaan supaya menjadi Melayu – menukar nama kepada nama Melayu, memakai baju Melayu, kain pelikat dan songkok, serta menolak segala amalan budaya dan tradisi nenek moyang…

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s