Khalid Salleh: Jual ubat = Teater

WAK MALAYA dan Badang adalah antara perintis dunia jual ubat tanahair. Namun, Khalid Salleh (KS) mempunyai keunikan tersendiri sewaktu menjual ubat; di Johor Bahru, Kota Bharu dan di puluhan bandar di seluruh negara. Niche beliau adalah dari segi implementasi teater dan sastera ketika menjual ubat, malah beliau menganggap jual ubat itu sebagai suatu bentuk teater lantaran ada pelakon dan bahan cerita yang hendak disampaikan.

Mendengar KS bercakap seorang diri dalam monodrama ‘Jual Ubat’ di DBP Wilayah Selatan pada 21 Jun lalu ternyata tidak membosankan. Pelajar-pelajar tingkatan 1 dan 2 dari Sekolah Seni JB malah dapat menikmatinya sambil sesekali ketawa dengan jenaka KS. Saya kagum dengan keupayaan KS memetik kata-kata pujangga Iqbal dalam bahasa Urdu: Manusia hanya perlukan dua keping roti, selebihnya hanya nafsu.

KS dalam sesi dialog membuka halaman sejarah peribadi bahawa sewaktu berusia 12 tahun lagi, beliau pernah menjadi penulis, pengarah, dan pelakon untuk sebuah sandiwara berjudul ‘Jalan ke Sekolah Menengah’ dalam sebuah majlis di kampungnya yang meraikan kejayaan KS sebagai anak kampung pertama untuk melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah. Sewaktu di tingkatan 3, beliau seterusnya terlibat secara langsung dalam pementasan teater berjudul ‘Kubur Tak Bertanda’.

Monodrama KS semakin sarat dengan falsafah sewaktu di bahagian kedua sebelum tamat. KS antara lain dengan sinis mempertikaikan tindakan menyahkan ‘e pepet’ dalam ejaan bahasa Melayu sebagaimana yang digagaskan oleh Za’aba. Beliau turut mengkritik pemimpin yang menggelapkan duit rakyat menerusi simbol gagak hitam yang patah sayap dan gemar makan bangkai busuk di tanah sambil gemar berteriak tak, taak, taaak dalam nada serak.

Beg sandang KS terus misteri lantaran tiada langsung ubat dikeluarkan darinya. Pun begitu, beliau pada peringkat awal lagi sudah membuat kenyataan bahawa ubat itu juga sebenarnya termasuk ‘percakapan yang baik-baik dan menjentik rasa’.

One thought on “Khalid Salleh: Jual ubat = Teater

  1. salaam.. saya teringin untuk mengetahui tentang wak malaya ini dengan lebih lanjut lagi. jika ada mana-mana laman web yang berkaitan tentang beliau. terima kasih

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s