5 buku sebelum Ramadan

LIMA buah buku yang baru masuk ke perpustakaan kami sebelum Ramadan ini adalah seperti berikut:

 

Orang Kota Bharu. Siapa sangka sewaktu Rejab, S. Othman Kelantan meningggalkan dunia ini, buku beliau memasuki dunia perpustakaan kami sewaktu Syaaban (salam takziah buat semua ahli keluarga yang ditinggalkan). Karya Sasterawan Negara ini merupakan hasil geran DBP. Buku ini dihadiahkan oleh seorang teman sewaktu berkunjung ke Melaka dalam cuti sekolah/universiti lalu.

 

Manikam Kalbu. Manikam Kalbu adalah nama kucing milik remaja yang satu-satu lelaki dalam sebuah kelas jahitan. Namun biarpun lelaki, dia menyerlah dan cemerlang dalam bidang tersebut. Mesej hijab dalam novel ini cukup kuat biarpun bersalut unsur humor dan alam remaja. Tukang jahit dan pereka fesyen bertanggunjawab dalam arahan hijab yang sebenarnya arahan Allah dan Rasul-Nya. Novel yang memenangi tempat pertama sayembara menulis novel remaja Jubli Emas DBP ini amat wajar anda baca.

 

Dilema Seorang Wartawan Islam. Karya Roslan Hamid atau lebih dikenali LANH ini bukanlah buku buru. Buku ini diterbitkan pada tahun 2001. Ia hasil pengalaman beliau sewaktu bertugas dengan NST di samping lontaran idea sebagai wartawan yang mahu menjadikan Islam sebagai acuan. ‘Wartawan persis posmen’, demikian analogi LANH sewaktu saya mengikuti bengkel beliau.

 

Miang-miang Lelaki Semakin Berisi. Judulnya cukup menarik. Isteri dan adik perempuan sewaktu kali pertama melihatnya terus menerpa. Benarlah kata Hamdy (penulis) di kulit belakang buku, ‘Jika anda seorang perempuan, jadikan buku ini sebagai hadiah istimewa kepada pasangan anda…’ Buku ini mengandungi banyak tip berguna dalam pengurusan kewangan rumahtangga.

 

I Love Ramadan. Buku ini juga dihadiahkan oleh seseorang, adik perempuan yang berpeluang mendengar bicara buku oleh penulisnya sendiri. Biarpun bercampur-aduk dengan bahasa Inggeris, buku ini menarik dan santai dibaca. Mesejnya cukup jelas dan kuat, manfaatkan seoptimum mungkin segala peluang yang diberikan Allah dalam bulan mulia, Ramadan. Penulis bijak bermain bahasa seperti: ‘Bazar atau bazir?’ dan ‘Gastrik atau just trick?’. Buku ini turut sesuai dibaca oleh anak-anak di sekolah rendah agar mereka juga dapat menghayati Ramadan.

 

Buku yang buat masa ini saya teruja untuk memilikinya adalah For God and Country tulisan James Yee, Muslim berbangsa Cina dari Amerika Syarikat yang pernah ditahan di Kem Guantonamo.

 

Salam Ramadan. Banyakkan baca al-Quran dalam bulan ini berbanding yang lain!

Advertisements

3 thoughts on “5 buku sebelum Ramadan

  1. Terima kasih di atas segala doa dan ucapan takziah untuk Almarhum Prof Dr. Syed Othman Syed Omar (S. Othman Kelantan). Sebagai isterinya yang menjaga segala keperluan dirinya selama 14 hari beliau di hospital, tiada lagi air mata yang bisa mengalir dan tiada lagi kata-kata yang bisa diungkapkan. Saya cukup gembira kerana setiap malam saya berada disampingnya dan dia menggenggam erat tangan saya ketika dia tidur. Ketika lapar, saya menyuapkannya dan segala kebersihannya saya yang bersihkan dengan penuh kasih sayang serta memandikannya setiap pagi. Tiap petang pula saya akan mendukungnya dan meletakkannya di atas kerusi roda dan berjalan-jalan disekitar wad. Saya lakukan sendiri semuanya tanpa bantuan Jururawat. Kini dia telah pergi bersama Tuhannya. Saya sungguh sepi. Dan kebetulan pula filem terakhir yang kami tonton bersama sebelum beliau sakit bersama puteri kami yang berusia 6 tahun, berjudul “Sepi”. Dan kami juga sempat menonton teater “Dejavu Seorang Wanita” di DBP bersama puteri kami. Di kala ini saya merasaka dia masih di sisi saya. Saya masih melihatnya di meja tulis dan komputernya, tekun menyelak lembaran pelbagai buku. Dan saya masih ingat waktu makannya yang 6 kali setiap hari. Saya masih menyimpan baju kali terakhir dipakainya. Sejadahnya, air mineralnya, al-Quran yang dibaca setiap subuh dan selepas menunaikan solat 5 waktu masih ditempat yang sama. Kerja-kerjanya yang terakhir masih ditempat yang sama. Semuanya tidak berubah. Roti yang dimakannya pada kali terakhir sebelum saya membawanya dihospital Az Zahrah pada pukul 6 petang, 17 Julai 2008 masih ada dan berada di dalam bakul dan di tempat yang sama. Air tehnya masih ada. Saya tidak membuangnya. Dia tetap hidup di jiwa saya dan puteri saya. Tiap kali azan di Tv 9, puteri saya akan berteriak “Abah Azan”. Dan dia akan termenung sambil berkata. “Kak Pah lupa… abah dah tak ada. Abah dengan Allah dan malaikat Nungkar dan Nangkir katanya. Dan di dalam komputer riba ini segala gambarnya semasa berada di hospital akan saya lihat dan puteri saya akan menanggis apabila menatap gambar itu kerana pilu kerana terlalu banyak wayar dan tiub berada di badan Abahnya. Puteri saya berasa kehilangannya kerana tiada lagi Abah yang akan menghantarnya ke sekolah dan akan menemankannya bermain di taman pada waktu petang, menonton wayang bersama pada hari Ahad di Metro Kajang atau di Alamanda Putrajaya, balik ke Kelantan serta tiada lagi insan yang bergelar Abah yang bergurau senda dan sentiasa memanggilnya “kakak cerdik dan anak bertuah Abah”. Saya begitu sayu apabila saya bertanya kepada kak Pah (pangilan untuk anak saya) ketika kami berada di kampung Abahnya yang berhadapan dengan sungai selepas seminggu Abahnya bersemadi bersama Allah untuk kenduri tahlil di sana. Saya tanya “Best tak balik Kelantan Abah naik Kapal Terbang.”? Dia menjawab ” Tak best sebab Abah tak ada. Kalau Abah ada lagi best”. Saudara mara yang mendengarnya tidak berkata apa-apa. Hanya memandang kak pah yang tekun memandang lembu yang di tambat di bawah pokok mangga di hadapan rumah Abahnya. Dan kini dalam setiap solat saya, saya hanya mampu berdoa dan membacakan Yassin untuk suami tercinta serta tiap-tiap malam bertahlil untuknya. 8 tahun bersamanya adalah moment yang indah dan tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata dan saya gembira menjadi suri hati seorang insan bernama Syed Othman Syed Omar Al Yahya sehingga ke akhir hayatnya. Almarhum seorang lelaki yang sangat ideal dan sempurna. Dan dia hanya ada satu dalam jutaan manusia.

    Ikhlas,
    Pn. Dian
    (ranofla@cempaka.edu.my)




  2. Terima kasih Pn Dian. Saya memang tak pernah bertemu al-marhum secara peribadi namun beliau tetap penting buat diri saya khususnya untuk novel dewasa pertama saya, MENITI BATAS. Novel tersebut dinilai oleh beliau, selepas dinilai dan disunting oleh Pn Zaharah Nawawi. Moga Allah ampuni dan anugerahkan kerahmatan buat ruh SN S Othman Kelantan.

  3. Salam Sdr Zulkhair,

    Saya tertarik dengan entri tentang buku “I Love Ramadhan”. Boleh saya tahu siapa penerbit, penulis, di mana boleh diperoleh buku tersebut, dsb. Ingin dapatkan buku tersebut untuk anak saya.

    Kalau tidak keberatan, boleh e-mel jawapan sdr ke nisah.haron@gmail.com.

    Terima kasih.

    ikhlas,
    Nisah Haron

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s