Hore, Kita Menang dalam Utusan Sarawak

ULASAN novel kanak-kanak Hore, Kita Menang dalam Utusan Sarawak dapat ditatapi sebagaimana berikut:

Hore, Kita Menang perjuangkan alam
Wartawan Kita

Tajuk buku: Hore Kita Menang
Pengarang: Zulkifli Khair dan Idayu Muhammad
Penerbitan: PTS One Sdn. Bhd
Tebal: 184 halaman
Tahun Terbit: 2007
Kategori: Remaja, pengembaraan, alam semuja jadi

Hore, Kita Menang, novel remaja kisah pengembaraan berlatarbelakangkan Kampung Serkam – perlu dimiliki remaja yang gemar membaca kisah “adventure”.

Pelukisan latar belakang dengan persekitaran semula jadi; kebun, sungai, hutan, bendang, gua dan watak alam berjaya dihidupkan sedemikian rupa oleh pengarang bersama Zulkifli Khair dan Ida Idayu Muhammad.

Novel remaja ini diterbitkan oleh PTS One Sdn. Bhd setebal 184 halaman mengisahkan kecekalan remaja yang cinta akan warisan kehijauan dan keindahan persekitaran kampung halaman.

“Budak-budak berlapan itu sudah pun menghilang di balik pohon-pohon rendang yang meliuk lentuk mengikut rentak angin. Mereka ke sungai lagi tanpa jemu. Sungai itulah sahabat setia mereka.” (hlm. 183)

Lapan remaja kampung terdiri daripada Napi, Zali, Syipah, Idah, Fuad, Along, Munir dan Jeri bersama-sama watak dewasa Pak Nan membongkar kejahatan sekumpulan orang luar yang tamak dan jahat menebang balak secara haram di penempatan mereka.

Dengan bantuan guru dan sedikit kefahaman sains yang dipelajari, remaja ini juga memberi penerangan dan kesedaran kepada orang kampung termasuk pegawai berwibawa tentang bahayanya pencemaran sungai sekiranya kilang tembakau dibenarkan didirikan di kampung mereka.

“Orang kampung tidak wajar gadaikan sawah bendang. Nanti udara, sungai, bendang, semuanya akan tercemar.” (hlm. 168)

Kecekalan remaja ini meredah sungai dengan ekspedisi rakit binaan sendiri, merungkai terowong misteri bawah tanah, gua hantu, sesat di hutan tebal malar hijau dan sebagainya membangkit semangat meneroka dan cinta akan persekitaran yang bersih dan sihat.

“Sekali lagi mereka memerhati sekeliling. Memang benar! Mereka dikelilingi oleh pohon-pohon balak yang besar-besar, sebesar dua tiga pemeluk orang dewasa. Rupa-rupanya mereka berada di dalam sebuah hutan malar hijau dan mereka berasa sungguh kerdil! Tidak hairanlah keadaan sungguh redup. Tetapi jauh lebih terang apabila dibandingkan dengan keadaan dalam terowong yang gelap-gelita tadi.” (hlm. 58)

Semangat berani meneroka persekitaran ini dikuatkan juga sikap tanggungjawab dan bersatu remaja ini menumpaskan kegiatan sindiket yang cuba merosakan hutan dan sungai kampung mereka.

Kita biasa membaca kisah “adventure” dengan tema penyiasatan penulis terkenal, tetapi kelainan yang jelas selepas membaca buku ini apabila penulis berjaya menggambarkan persekitaran daripada pengalaman budaya kita sendiri dan lukisan alam iklim Khatulistiwa.

Walaupun anak-anak zaman ini lebih dibuai persekitaran seperti permainan komputer, lumba kereta mainan atau ada yang merafak di depan televisyen sebalik sahaja balik dari sekolah, kumpulan remaja dalam novel ini digambarkan berinteraksi sesama rakan dan persekitaran alam sesuai dengan tema yang dikemukakan oleh penulis.

Kejayaan yang jelas ditonjolkan dalam novel berharga RM16 untuk harga Sarawak ini ialah kekuatan bahasa penulis selain kebijaksanaan penulis menampilkan rincian yang sederhana.

“Beginilah apabila ada barbeku ubi bakar, seronok. Semua dapat merasa keenakan ubi bakar panas cicah sambal tumis ikan bilis dan serunding kelapa ataupun sambal belacan. Wah enaknya! Budak-budak itu seronok menolong membakar ubi…” (hlm. 24)

Selain penggunaan bahasa yang mudah, indah dan sesuai untuk remaja, rincian “bersahaja” di beberapa babak tertentu sekali gus bermanfaat untuk mengembangkan cerita dan menggambarkan aktiviti yang dilakukan oleh remaja ini seperti berakit, memancing di sungai, barbeku ubi bakar, menuai di bendang, menanam tembakau dan sebagainya.

Semasa kumpulan remaja ini berakit, penulis melukiskan persekitaran… “Riak-riak kecil kelihatan muncul di merata tempat di permukaan air. Di sebalik akar banir pauh yang menjulur dari tebing ke dasar sungai, pelbagai jenis ikan menari-nari mengikut rentak arus yang menjurus laja. Kadang-kadang berbentuk seperti pusar di bahagian lubuk yang agak dalam airnya.

“Di atas kawasan yang seakan-akan lubuk itu, terjengul akar besar pokok pauh dari pinggir tebing. Ada enam biji buah pauh masak kekuningan yang jatuh ke sungai terapung-apung di permukaan air bergerak mengikut arus. Kelihatan pelbagai jenis burung bertenggek di atas dahan pokok mencari buah-buahan yang ranum pada musim begini…” (hlm. 13)

Kepada remaja yang banyak masa terperap di rumah, lebih dekat dengan permainan moden, berumah di pinggir bandar – bacalah Hore, Kita Menang jika mahu merasa pengalaman dan keseronokan kehidupan remaja kampung yang hari-hari mereka lebih dekat dengan alam semula jadi!

One thought on “Hore, Kita Menang dalam Utusan Sarawak

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s